Pembangunan Sahsiah




PROFESIONAL

            Bagi meningkatkan tahap profesionalisme guru, guru perlu berusaha untuk meningkatkan kendiri mereka melalui penyelidikan tindakan, refleksi, mengamalkan budaya ilmu, menghadiri Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan dan mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Guru-guru perlu menghadiri sesi latihan dalam perkhidmatan dan berkolaborasi sesama rakan sejawat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Kemahiran ikhtisas ini sangat penting bagi setiap guru kerana ini akan mendorong guru menyampaikan pengajaran bermutu kepada pelajar. Paling penting, guru hendaklah sedaya upaya meningkatkan teknik pengajaran dalam bilik darjah. Keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah perlulah dikaji agar murid dapat impak yang maksimum. Bagi memperkembangkan kemahiran, guru boleh mengikuti kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah mahupun Bahagian Pendidikan Guru. Kursus-kursus ini termasuklah Kursus Dalam Perkhidmatan dan Kursus Dalaman yang dilaksanakan oleh pihak sekolah.

Penyelidikan tindakan pula bertujuan untuk mengesan keadaan dan masalah dalam amalan-amalan pendidikan terutamanya mencari kelemahan-kelemahan atau masalah yang terdapat dalam sistem pendidikan atau pengajaran seorang guru. Menurut Kurt Lewin ( 1952 ), penyelidikan tindakan merangkumi empat peringkat iaitu, merancang, bertindak, memerhati dan membuat refleksi. Contohnya guru membuat kajian penyelidikan tindakan untuk mengetahui strategi, kaedah dan teknik yang paling sesuai untuk mengajar, perancangan aktiviti, pemulihan dan pengayaan, penggunaan bahan-bahan pengajaran dan pengurusan aktiviti kumpulan. Namun guru tidak seharusnya lupa bahawa topik yang hendak dikaji perlu berkait dengan masalah pengajaran yang sebenar di dalam bilik darjah.


            Refleksi pula penting untuk mengetahui kebaikan dan kelemahan pengajaran dan pembelajaran, seterusnya guru dapat memperbaiki dan mengubahsuai semula kaedah mengajar supaya keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah tercapai. Refleksi sangat wajar dibuat bagi setiap sesi pengajaran dan pembelajaran agar guru dapat memikirkan kaedah terbaik dalam pengajaran.



KREATIF

Menurut kamus Webster’s (1976), pemikiran kreatif merupakan kebolehan untuk mewujudkan sesuatu yang baru.

Sebagai seorang yang kreatif, guru boleh melakukan pengajaran dan pembelajaran dengan sesuatu cara yang unik. Guru haruslah berfikir di luar kotak, melihat sesuatu daripada perspektif baru, membuka minda dengan idea-idea baru, menerbitkan idea besar kepada idea-idea yang lebih kecil, berfikir secara fleksibel dan membuat sintesis, imaginasi dan visual. Contohnya guru menggunakan daya imaginasi mereka dalam proses mencerna minda pelajar. Guru boleh memulakan pengajaran mereka dengan mengemukakan soalan-soalan yang umum. Ini dapat membuka minda pelajar supaya dapat berfikir di luar kotak. Selain itu, media berbentuk visual, audio, teks dan grafik juga boleh membantu menjana minda pelajar. Penggunaan media-media seperti ini perlulah selaras dengan strategi pedagogi yang sesuai agar objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai.





INOVATIF

 Inovatif berasal dari perkataan Latin yang bermaksud pembaharuan. Inovatif adalah kemampuan membuat transformasi atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang relevan dalam pengajaran dan pembelajaran agar dapat menjana minda murid-murid untuk menerima ilmu dan kemahiran yang diajar. Inovatif seorang guru adalah merangkumi kebolehan mengubahsuai teknik atau kaedah sedia ada kepada cara yang lebih baik lagi.

Antara usaha yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk guru-guru di Malaysia ialah mewujudkan Anugerah Guru Inovatif. Ini bertujuan untuk mengenalpasti guru atau kumpulan guru yang telah melahirkan idea dan usaha kreatif dan inovatif dalam pelaksanaan kurikulum di peringkat sekolah. Selain itu, kewujudan anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada guru atau kumpulan guru yang dikenal pasti sebagai kreatif. Guru juga digalakkan berusaha mencari idea-idea baru dalam melaksanakan kurikulum dan berkongsi dengan guru-guru lain bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Terdapat beberapa strategi yang dapat digunakan untuk melahirkan guru yang kreatif dan inovatif ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan daya imaginasi murid dapat membantu mencerna minda murid. Pemilihan dan pengaplikasian media pengajaran membantu murid meneroka ke tempat yang tidak dapat atau mustahil untuk diterokai. Contohnya, guru membawa murid meneroka ke kawasan gurun, dasar lautan ataupun angkasa lepas untuk memberi gambaran visual kepada murid. Dengan cara ini, murid dapat melihat perkaitan atau menyerap ilmu pengetahuan dengan lebih baik.





INTEGRITI

Integriti ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu anggota perkhidmatan pelajaran dan organisasi pelajaran berlandaskan etika dan piagam pelanggan berdasar sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika dan piagam pelanggan diamal dan dihayati oleh anggota organisasi yang akhirnya menjadi budaya kerja organisasi. Melaksana amanah dan kuasa yang dipertanggungjawab dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam.

Intergriti merupakan ciri-ciri positif yang wujud pada individu dan sesebuah organisasi. Menurut kamus Oxford, intergriti bermaksud quality of being honest and having strong moral principles, the state of being whole and undivided. Kamus Dewan, Edisi ke-3 mentakrifkan intergriti sebagai keadaan sempurna dan utuh. Manakala Collin English Dictionary ( 1994 ), pula mentakrifkan intergriti sebagai adherence to moral principles, honesty, wholeness, soundness.

Antara perkara yang terkandung dalam integriti ialah melaksanakan amanah mengikut kepentingan awam, mengutamakan kepentingan awam dan telus serta tulus. Isu-isu seperti penyelewengan dan salah guna kuasa tidak patut berlaku. Dalam konteks pengajaran guru di dalam kelas pula, guru seharusnya mengutamakan kepentingan murid melebihi kepentingannya sendiri. Contohnya, guru memilih tajuk dan kaedah yang sesuai untuk keperluan murid berbanding kaedah yang disukai guru. Guru hendaklah bersikap jujur dan memberi layanan yang adil kepada murid-murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Pada 6 September 2007, YB. Dato’ Sri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu telah membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk mewujudkan Masyarakat Malaysia Berintergriti Melalui Sistem Pendidikan Berkesan. Menurutnya, Kementerian Pelajaran Malaysia telah merangka sebuah pelan induk yang dinamakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010. Pelan ini merupakan sebuah pelan yang komprehensif dan holistik serta dilaksanakan untuk memastikan modal insan yang dibangunkan dapat memenuhi hasrat dan cabaran yang dinyatakan.

Guru selaku pendidik perlu bertanggungjawab dan bertindak sewajarnya terhadap murid. Di antaranya tanggungjawab tersebut ialah seperti sentiasa memikirkan masa depan murid, ada tahap kesabaran yang tinggi, bersifat pengasih dan penyayang, pupuk suasana seronok belajar, beri pengharapan baru, bentuk roh dan sahsiah terpuji dan ada kapasiti mengubah murid menjadi yang terbaik.




SEMANGAT BERPASUKAN

Menurut kamus Websters New World, kerja berpasukan bermaksud perkara yang dilakukan bersama sekumpulan orang di mana setiap orang yang berada di bawahnya adalah individu yang berkepentingan dan memberi sumbangan kepada kecekapan kumpulan tersebut. Oleh itu, kerja berpasukan yang berkesan akan terhasil apabila semua ahli yang terlibat memberi sumbangan dan terlibat aktif dan bekerja menuju tujuan yang sama. Semangat berpasukan menghasilkan kerja berpasukan yang berkualiti tinggi. Sebagai guru, mereka  tidak boleh bekerja secara individu terutamanya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang rumit. Semangat berpasukan dapat mencetuskan pernyataan perasaan, inovasi dan percambahan idea yang lebih baik dan kreatif.

Kerja berpasukan memerlukan semangat berpasukan yang tinggi. Terdapat beberapa perbezaan antara kumpulan dan pasukan. Di sesebuah sekolah, guru mungkin adalah sebagai kumpulan tetapi yang lebih penting, guru seharusnya bekerja sebagai satu pasukan. Ahli dalam kumpulan bekerja secara bebas dan tidak bekerja untuk tujuan yang sama. Pasukan pula bekerja saling bergantungan, mempunyai tujuan peribadi dan pasukan, memahami matlamat dan saling menyokong antara satu sama lain. Ahli kumpulan menumpukan kepada diri mereka sendiri kerana mereka tidak terlibat dalam perancangan antara ahli. Ahli pasukan pula merasakan pemilikan terhadap peranan mereka dalam kumpulan ini kerana mereka komited terhadap matlamat mereka. Selain itu, ahli kumpulan sangat berhati-hati tentang apa yang mereka katakan dan takut mengajukan soalan. Ini terjadi keraana mereka tidak sepenuhnya memahami apa yang terjadi dalam kelompok mereka. Sementara itu, matlamat yang ditentukan dalam pasukan akan menggalakkan semua ahli pasukan mengekspresikan pendapat, pandangan dan pertanyaaan yang pelbagai.

Menurut Larson dan LaFasto dalam buku mereka berjudul Teamwork: What Must Go Right/What Can Go Wrong (Sage Publications 1989), terdapat beberapa ciri-ciri pasukan yang berkesan. Pasukan mestilah mempunyai tujuan yang jelas. Setiap ahli hendaklah memahami tujuan tersebut dan tahu peranan masing-masing. Pada masa yang sama, pasukan perlu mempunyai struktur berasaskan keputusan. Pasukan ini harus membuat tindakan yang akan menghasilkan sesuatu keputusan yang diingini. Setiap ahli mestilah memberikan komitmen dan bersatu. Suasana dalam pasukan hendaklah saling bekerjasama dan berkolaborasi dalam mencapai matlamat yang sama. Tidak semestinya semua guru melakukan perkara yang sama tetapi mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Pasukan yang berkesan sentiasa menerima sokongan luaran dan dorongan agar mereka sentiasa positif dalam mencapai matlamat mereka.




BERORIENTASIKAN PELANGGAN

Sebagai seorang guru juga, kita perlu mengamalkan sikap berorientasikan pelanggan. Siapakah pelanggan kita di sekolah? Pelanggan sekolah terdiri daripada murid-murid dan ibu bapa mereka. Di Malaysia, ibu bapa terdiri daripada ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Sebagai sebuah agensi perkhidmatan, guru juga tidak terlepas daripada memberikan perkhidmatan terbaik yang berorientasikan pelanggan. Terdapat empat perkara yang akan dibincangkan dalam perkhidmatan berorientasikan pelanggan iaitu responsif, proaktif, mesra dan berkualiti. Kesemua perkara ini terkandung dalam Lampiran Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2008 : Panduan Pengurusan Perhubungan Pelanggan.

            Dalam Pekeliling tersebut, kerajaan telah menyatakan beberapa ciri kualiti Perkhidmatan Pelanggan yang dibahagikan kepada 3 kategori iaitu fizikal, penyampaian dan emosi. Komponen fizikal mengandungi persekitaran yang kondusif dan kemudahan sokongan. Dalam komponen penyampaian pula mengandungi kebolehpercayaan, responsif, menepati masa, ketepatan, mudah diperoleh, mudah difahami, kompeten, kredibiliti dan keselamatan. Terakhir, komponen emosi mengandungi mesra dan adil, mendengar dan memahami dan menghormati.

            Responsif bermaksud menyampaikan perkhidmatan yang responsif yang memenuhi ciri-ciri seperti cepat memberi respons kepada semua urusan pelanggan dan memaklumkan sehingga urusan selesai. Di sekolah, kita mempunyai beberapa tanggungjawab yang perlu diselesaikan dengan segera seperti urusan biasiswa, mencatat buku prestasi murid dan memaklumkan perkembangan murid kepada ibu bapa. Guru hendaklah sentiasa responsif terhadap urusan-urusan sebegini.

            Guru juga perlu sentiasa menawarkan perkhidmatan yang konsisten kepada pelanggan dari segi kualiti pengajaran dan pembelajaran serta menepati piagam yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Pada masa kini, KPM telah menggariskan NKRA sebagai piawai yang patut dipatuhi oleh pihak sekolah. Biasanya, dalam setiap kelas terkandung Piagam Pelanggan yang menggariskan amalan yang patut dilaksanakan oleh guru termasuk menepati masa.

            Selain itu, penyediaan bahan seperti borang, arahan, panduan perkhidmatan dan maklumat-maklumat yang diperlukan juga hendaklah disediakan dengan jelas. Contohnya, bagi urusan pendaftaran dan pengesahan kanak-kanak masuk sekolah, Borang Maklumat Murid dan sebagainya hendaklah diserahkan beserta arahan yang jelas kepada ibu bapa. Guru-guru juga dminta lebih kompeten iaitu berpengetahuan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

            Dari segi emosi, guru seharusnya lebih mesra dan adil kepada murid dan ibu bapa dan berurusan dengan mereka tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Selain itu, guru yang mempunyai sahsiah yang baik sentiasa mendengar dan memahami perkara yang dibangkitkan oleh pelanggan dan mengambil tidakan yang sewajarnya. Menghormati ibu bapa juga penting selain guru memberi layanan dengan penuh rasa hormat.

            Terakhir, dari segi fizikal pula, guru yang mempunyai sahsiah yang tinggi akan mementingkaan keselesaan murid mereka. Persekitaran kelas yang kondusif, kebersihan dan suasana di sekolah juga turut memainkan peranan yang penting. Pada pendapat saya, kebersihan dan keceriaan juga akan meningkatkan motivasi murid untuk hadir ke sekolah dan mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran dengan lebih gembira.